Tiba masanya Malaysia bangunkan pusat penyelidikan vaksin segera

KUALA NERUS – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang membincangkan secara serius kepentingan mewujudkan sebuah pusat penyelidikan pembangunan vaksin segera bagi membolehkan vaksin dikeluarkan dalam negara

Timbalan Menterinya Ahmad Amzad Hashim berkata pembangunan pusat tersebut dilihat bagi menghadapi cabaran penularan sesuatu penyakit berjangkit pada masa yang akan datang selain wabak COVID-19 yang melanda kini.

“Kita pernah ada makmal kajian biotek (bioteknologi) yang maju pada satu ketika dahulu, tetapi barangkali penumpuan tidak diberikan selama ini kerana tidak menjangkakan akan berdepan dengan situasi ini (COVID-19). Dari segi kepakaran pula kita mempunyai ramai pakar dalam bidang ini (biotek) di Malaysia”, katanya.

“Penghasilan satu-satu vaksin melibatkan proses yang panjang sehingga dua tahun, dan peruntukan mungkin melibatkan ratusan juta,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ahmad Amzad berkata MOSTI telah menyerahkan geran penyelidikan sebanyak RM50,000 kepada UniSZA bagi membangunkan sebuah sistem penilaian risiko COVID-19 secara dalam talian yang dinamakan ‘COVID-19 Health Risk Assessment And Self Evaluation System’ (CHaSe).

Katanya sistem tersebut menggunakan teknologi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) bagi mengesan dan mengurus risiko jangkitan COVID-19 yang dilaksanakan dalam kalangan kakitangan dan pelajar UniSZA.

Sementara itu, aplikasi web TanyaDoktor.com yang dilancarkan hari ini membolehkan rakyat Terengganu mendapatkan rundingan kesihatan dan pemakanan daripada pakar perubatan tanpa perlu hadir ke klinik dan hospital.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here