KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyiapkan kira-kira 45,000 kelengkapan perlindungan diri (PPE) kepada Kementerian Kesihatan untuk kegunaan petugas barisan hadapan di hospital dan klinik seluruh negara.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata lapan Institusi Latihan Kemahiran Belia Dan Sukan (ILKBS) di seluruh negara menghasilkan sejumlah PPE tersebut.
Katanya, ILKBS terbabit akan menghasilkan PPE berkenaan menerusi dana yang disalurkan oleh Pertubuhan Tweet Perubatan Malaysia (MedTweetMY) berjumlah RM100,000.
“KBS melalui ILKBS mengadakan kerjasama strategik bersama MedTweetMY dalam menghasilkan PPE untuk kegunaan barisan hadapan menghadapi wabak COVID-19,” katanya selepas menerima sumbangan cek RM100,000 daripada Pengerusi MedTweetMY, Dr Khairul Hafiz di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Sepang, hari ini.
Pada majlis itu, Reezal Merican turut menyerahkan 3,500 unit PPE pelindung muka dan 2,000 unit PPE apron yang sudah disiapkan oleh IKTBN Sepang dan IKTBN Pagoh.
Enam lagi institut menghasilkan PPE ialah IKTBN Dusun Tua, IKTBN Sepang, IKTBN Pekan, IKTBN Pagoh, IKTBN Chembong, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak, IKBN Wakaf Tapai dan IKBN Jitra.