SINGAPURA – Pemegang permit kerja yang tinggal di lebih 25 asrama kluster menjadi punca kepada kes baharu jangkitan COVID-19, kira-kira 96 peratus di Singapura semalam.
Peningkatan terbesar kes harian semalam yang menjangkau sehingga 1,426 kes positif, menjadikan jumlah keseluruhan di negara ini kini berjumlah 8,041.
Kementerian Kesihatan Singapura dalam satu kenyataan berkata peningkatan ketara itu berpunca daripada penghuni asrama, disebabkan ujian yang ditingkatkan di kawasan berkenaan.
“Sebilangan besar kes ini melibatkan penyakit ‘ringan’ dan dipantau di fasiliti isolasi komuniti atau wad umum hospital”, katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan di sini malam tadi.
Setakat ini Singapura telah mewartakan 18 daripada lebih 25 asrama berkenaan sebagai kawasan isolasi, dengan asrama yang paling terkesan menempatkan penghuni dari Bangladesh, India, China dan Myanmar.
Kluster terbesr di Singapura ialah S11 Dormitory @ Punggol, Seletar North Link, dengan kes yang disahkan berjumlah 1,977.
Sehingga kini Singapura mengklasifikasikan 6,075 kes sebagai melibatkan penghuni asrama, 339 melibatkan pemegan permit kerja yang tidak tinggal di asrama, 1,031 kes komuniti, dan 569 kes import.
Sehingga pukul 12 tengah hari semalam, 801 telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan itu, dan dibenarkan keluar daripada wad hospital, 23 masih dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi, dan 11 telah meninggal dunia.