LANGKAWI – Pantai Chenang yang menjadi lokasi tumpuan pelbagai kegiatan sukan air, bersantai, serta merakam gambar kenangan di sini boleh ‘terkubur’ begitu sahaja, apabila tiada kehadiran pelancong atau sebarang aktiviti.
Lokasi yang sentiasa meriah dengan hiruk-pikuk pelancong kini kelihatan ‘kosong’ berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik COVID-19, sejak 18 Mac lepas.
Pantai Chenang boleh dijadikan gambaran terbaik kepada situasi dihadapi industri pelancongan Langkawi yang begitu terjejas susulan penularan wabak itu.
Presiden Persatuan Pemandu Pelancong Langkawi (LTGA) Ardi Bahador berkata 220 orang ahli persatuan yang berkhidmat sebagai ‘duta kecil pelancongan’ hilang punca pendapatan.
“Rata-rata ahli persatuan merupakan pemandu pelancong sepenuh masa, pemandu pelancong bebas, dan juga bergaji harian. Ini bermakna sumber pendapatan mereka bergantung kepada kehadiran pelancong. Oleh sebab itu, ada ahli persatuan cuba untuk mencari pendapatan sampingan seperti menjadi pemandu e-hailing, dan ada yang membuat jualan dalam talian, tetapi masih tidak dapat menampung kehidupan yang semakin mencabar,” katanya.
Ardi berkata ahli persatuan bersyukur kerajaan atas memberi bayaran secara one-off sebanyak RM600 kepada pemandu pelancong yang berdaftar kerana impak wabak COVID-19 kepada industri pelancongan, namun tetap berharap ada bantuan lain serta sesuai masih boleh disalurkan.
Menurutnya Langkawi sudah dikategorikan sebagai ‘zon hijau’ kerana pesakit terakhir COVID-19 telah sembuh dan dibenarkan keluar dari Hospital Sultanah Maliha, tetapi sektor pelancongan masih tidak dapat ‘bergerak’ dalam tempoh PKP ini.
“Industri pelancongan menyumbang 60 peratus kepada ekonomi pulau ini. Turut terkesan ‘beach boy’, sebelum ini mereka boleh raih RM100 hingga RM300 sehari bergantung kepada musim, tetapi sekarang langsung tak ada pendapatan”, katanya.
Melihat kepada penilaian itu, Hezri berkata LADA sedang mengumpul maklum balas pemain industri untuk mencari kaedah terbaik menerusi pengenalan pakej menarik yang boleh ditawarkan kepada pelancong domestik.