Penghantar makanan e-bazar Ramadan perlu ambil suntikan vaksin anti-tifoid

ALOR SETAR: Semua pengendali e-bazar Ramadan termasuk penghantar makanan di negeri ini, dikehendaki wajib mendapatkan suntikan vaksin anti-tifoid bagi mengelak mereka dijangkiti penyakit, seterusnya mencegah penularan kepada orang awam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Datuk Dr Ismail Salleh, berkata semua pengendali termasuk penghantar makanan perlu mendapatkan suntikan itu daripada pengamal perubatan berdaftar.

“Hal ini disebabkan, penghantar makanan juga sebahagian daripada pengendali makanan yang mesti mendapatkan suntikan vaksin berkenaan”, katanya.

“Apabila penghantar makanan mengambil suntikan itu, maka risiko penyebaran penyakit tifoid melalui makanan dan minuman dihantar juga rendah,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Dr Ismail berkata, soal kebersihan diri pengendali makanan mesti diutamakan termasuk menjaga kebersihan premis mereka.

Katanya, semua peniaga makanan perlu mendaftar dan dilesenkan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing bagi membolehkan mereka berniaga secara dalam talian pada Ramadan ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here