KUALA LUMPUR: Penurunan kes positif COVID-19 yang konsisten sejak dua minggu lepas, memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa pemulihan wabak itu di negara ini semakin memberangsangkan.
Perkembangan ini jelas menunjukkan petugas barisan hadapan kesihatan dan penguat kuasa telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan cemerlang, namun rakyat masih lagi mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Hal ini kerana selagi tiada vaksin untuk merawat COVID-19, orang ramai perlu mementingkan kaedah kesihatan awam iaitu pencegahan lebih baik daripada rawatan, selain mengamalkan kebiasaan baharu. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menjangkakan seluruh dunia terpaksa memerangi COVID-19 sehingga tahun depan sehingga menjumpai anti-vaksin Covid-19.
Semalam Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, memaklumkan 36 lagi kes positif COVID-19 dikesan, dan tiada rekod kematian baharu dicatatkan, yang merupakan satu kejayaan besar buat petugas kesihatan dalam perjuangan mereka mengesan dan merawat pesakit COVID-19.
Dr Noor Hisham mengingatkan tidak mustahil kes baharu boleh meningkat dalam tempoh dua minggu akan datang terutamanya apabila pengesanan kes masih giat dijalankan ke atas rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara, serta kemunculan kes di lokaliti yang terlibat di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Oleh itu, rakyat perlu patuhi arahan PKP sepanjang krisis ini bagi menamatkan PKP dengan segera dan melihat COVID-19 kekal konsisten terkawal.