WHO – Negara hampir bebas wabak Covid-19 berwaspada terhadap ancaman gelombang baharu

KUALA LUMPUR: Negara yang hampir bebas daripada kes COVID-19 mungkin berdepan dengan ancaman gelombang baharu kerana wabak berkenaan masih wujud di peringkat serantau.

Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Rantau Pasifik Barat, Dr Takeshi Kasai, berkata perkara itu diakui pemimpin di semua negara ketika sidang perbincangan yang diadakan secara dalam talian, saban minggu.

Sehubungan itu, katanya, setiap negara di rantau berkaitan saling berbincang mengenai pendekatan terbaik untuk menamatkan perintah berkurung atau kawalan pergerakan.

“Selagi penularan wabak ini dicatat di negara lain, ia bukan pengakhiran bagi krisis COVID-19, justeru semua pihak tidak harus mengambil pendekatan santai terhadap bahaya virus ini”, tambah beliau.

“Kita perlu bantu dan sokong negara lain yang berdepan kekangan untuk menangani penularan COVID-19 kerana tanggungjawab memerangi penularan wabak ini wajar dilihat pada peringkat lebih besar seperti serantau serta dunia.

“Dunia belum selamat daripada ancaman COVID-19 jika masih ada negara yang merekodkan pertambahan kes positif,” katanya pada sidang media di Manila, Filipina dan disiarkan secara langsung, hari ini.

Menyentuh pendekatan terbaik untuk menamatkan kawalan pergerakan atau perintah berkurung, Dr Kasai berkata, keputusan itu harus bersandarkan laporan statistik dan dibuat mengikut pertimbangan faktor kesihatan awam.

Selain itu, katanya, jalan terbaik untuk menamatkan perintah sedemikian adalah secara berperingkat dengan mengimbangi kepentingan penjagaan kesihatan awam dan usaha memulihkan ekonomi domestik.

“Antara faktor yang perlu dikaji dan dipastikan terlebih dahulu ialah kemampuan atau kapasiti perkhidmatan kesihatan awam untuk menampung sebarang kewujudan kluster baharu, selepas kawalan pergerakan dan perintah berkurung ditamatkan.

Katanya, Singapura dibadai gelombang kedua menerusi penularan jangkitan berpunca daripada kluster asrama pekerja warga asing, sekali gus melonjak kadar kes positif di negara terbabit.

“Hampir 50 peratus negara di Eropah dan wilayah barat Pasifik ketika ini berada dalam keadaan yang sangat membimbangkan apabila merekodkan peningkatan kes COVID-19 secara mendadak”, katanya.

“COVID-19 masih berupaya mengancam keselamatan sesebuah negara, meskipun ia dilihat hampir berjaya memutuskan rantaian wabak ini,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here