KUALA LUMPUR – Bulan Ramadan semakin hampir dan umat Islam perlu melalui ibadah puasa dalam tempoh pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 28 April ini.
Tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menentukan permulaan puasa umat Islam seluruh Malaysia telah ditetapkan esok.
Umat Islam akan menyambutnya dengan suasana norma baharu, antaranya melalui e-bazar Ramadan dan jika tempoh PKP tidak dilanjutkan pun, keadaan tahun ini sudah pasti tetap berbeza.
Selain itu, tahun ini juga tiada solat tarawih berjemaah di surau atau masjid kerana ia antara usaha penting memutuskan rantaian wabak COVID-19,.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dalam sidang media hariannya semalam, berkata kepatuhan masyarakat terhadap PKP adalah amat penting dan perlunya dalam menurunkan jangkitan Covid-19. Ini terutama bagi memastikan tidak berlaku jangkitan merentas negeri, daerah dan mukim.
Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengingatkan, segala peraturan selama ini masih terus kekal dan pematuhan kepada peraturan berkenaan perlu menjadi tanggungjawab semua pihak.
Sikap kita dalam mematuhi arahan ini akan menentukan sejauh mana PKP ini akan dilaksanakan dan kita seharusnya boleh mengambil iktibar dengan apa yang berlaku di Singapura di mana republik itu telah melanjutkan langkah pencegahan lebih ketat selama empat minggu lagi sehingga 1 Jun.
Pastinya antara persoalan bermain di minda adalah status PKP fasa tiga yang akan tamat dalam enam hari lagi. Adakah ia akan dilanjutkan? Pastinya situasi semasa dan usaha kita memerangi COVID-19 akan menentukannya.