Di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), satu persatu inisiatif telah dilaksanakan sehingga hari ini, termasuklah pemberian diskaun penggunaan elektrik yang memperuntukkan diskaun berjumlah RM1,024.7 juta hasil kerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB)
Diskaun yang bakal memberi manfaat kepada hampir tujuh juta rakyat Malaysia berpendapatan rendah ini diberikan secara automatik kepada semua pelanggan domestik berdaftar TNB dan boleh dinikmati bermula April sehingga September depan mengikut jumlah penggunaan bulanan:-
- Tiga juta pengguna domestik dengan penggunaan bulanan bawah 200kWh akan menerima diskaun 50 peratus.
- 1.5 juta pengguna dengan penggunaan bulanan antara 201 kWh hingga 300kWh akan menerima diskaun 25 peratus.
- 2.2 juta pengguna dengan penggunaan bulanan antara 301kWh hingga 600kWh akan menerima diskaun 15 peratus.
Memandangkan tiada bacaan meter elektrik dan bil bercetak dikeluarkan sepanjang tempoh PKP, justeru bil bulanan dikira berdasarkan anggaran penggunaan bil bulan sebelumnya.
Diskaun akan diberikan secara prorata dengan mengira penggunaan elektrik mulai 1 April 2020. Bagaimanapun, bil akan diselaraskan semula selepas kakitangan TNB membuat bacaan sebenar di kediaman anda selepas tamat tempoh PKP.
Selain daripada pengguna domestik, TNB turut menawarkan diskaun penggunaan elektrik sebanyak 15 peratus kepada sektor dan perniagaan yang terjejas seperti syarikat perhotelan, agensi pelancongan, penerbangan tempatan, pusat beli-belah, konvensyen dan taman tema.
TNB juga memberikan diskaun sebanyak dua peratus untuk penggunaan elektrik enam bulan seterusnya bagi sektor komersil dan pertanian.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai inisiatif TNB PRIHATIN ini, layari laman web TNB