Kaedah pernikahan dalam talian buat sejarah pertama di Malaysia

KUALA LUMPUR – Don Haadi dan Nahdatul Aishah menjadi pasangan pertama melaksanakan kaedah pernikahan secara dalam talian, melalui sidang video, baru-baru ini.

Kaedah pelaksanaan yang mungkin tidak pernah terfikir pun boleh dilakukan sedemikian rupa, sudah tentu ramai bakal pengantin di luar sana turut memasang hajat sama disebabkan kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Ajib Ismail berkata sehingga kini, sudah terdapat kira-kira 20 pasangan yang telah memohon untuk bernikah melalui kaedah tersebut dan dijangka angka itu akan meningkat pada masa akan datang. 

Jelas beliau, mereka yang dibenarkan membuat permohonan untuk akad nikah dalam talian tersebut hanyalah pasangan yang telah mendapat kebenaran nikah daripada pihaknya sebelum PKP dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

“Calon yang telah dapat kebenaran berkahwin sebelum PKP perlu isi borang dan dihantar kepada kita dan akan ditapis oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga JAWI dan setelah itu barulah diluluskan,” katanya.

Beliau berkata memandangkan ia dilaksanakan secara dalam talian, aspek utama yang diberikan perhatian sudah tentulah melibatkan kelajuan internet yang stabil dan tinggi, dan calon pasangan sendiri mestilah tahu menggunakan platform sidang video dalam talian seperti Skype. 

Menariknya juga, beliau berkata sesi raptai juga akan dibuat bagi menguji penggunaan fasiliti terbabit dan memastikan semua pihak terlibat bersedia, dengan setiap satu sesi majlis hanya berlangsung kira-kira 15 minit sahaja. 

Katanya, pada hari sebenar, terdapat tiga lokasi berbeza yang terlibat, setiap satunya akan menempatkan lokasi calon lelaki, calon wanita bersama wali dan dua saksi serta lokasi imam/jurunikah atau Pendaftar Nikah Cerai Rujuk. Malah akan ada pemantau dari kita (JAWI) yang dihantar dengan kebenaran polis untuk melihat rumah calon wanita itu sendiri.

Beliau berkata apabila PKP telah berakhir nanti, nikah secara dalam talian juga akan ditangguhkan dan pasangan boleh membuat pernikahan secara biasa.

Sementara itu, pasangan Don Haadi dan Nahdatul Aishah, sepatutnya mereka bernikah pada 14 April lalu, namun disebabkan PKP serta bimbang penularan COVID-19, mereka akur dengan menunda tarikh bahagia mereka walaupun hanya melaksanakannya melalui kaedah secara talian.

Don Haadi yang merupakan penjawat awam mengakui pernikahan dalam talian memudahkan pasangan yang sudah merancang perkahwinan sebelum ini. Kepada pasangan lain yang telah diberi kebenaran bernikah, boleh merujuk kepada jabatan agama negeri masing-masing untuk  meminta nasihat dan pandangan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here