Kedah benar operasi premis makanan sepanjang Ramadan

ALOR SETAR: Semua premis makanan dan minuman di negeri ini dibenarkan beroperasi pada jam 3 petang hingga 8 malam sepanjang Ramadan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Keusahawanan negeri, Mohd Asmirul Anuar Aris, berkata tempoh operasi itu tertakluk kepada pentadbiran dan arahan pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing berdasarkan situasi semasa.

“Bagaimanapun, premis makanan dan minuman yang dibenarkan operasi dikehendaki menggunakan perkhidmatan syarikat penghantaran makanan yang berdaftar, selain perlu menitikberatkan kebersihan penyediaan makanan.

“Dalam hal ini, kerajaan negeri Kedah telah berbincang dengan Syarikat Foodpanda Malaysia Sdn Bhd, Sumhero Sdn Bhd (OdaMakan) dan Go Eat Sdn Bhd serta mengalu-alukan syarikat berkaitan yang sudi berkerjasama untuk menjayakan agenda ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Asmirul berkata bagi peniaga yang menggunakan penghantaran sendiri boleh memohon surat kebenaran kepada PBT masing-masing mengikut syarat yang ditetapkan.

Justeru, pihaknya berharap usaha berkenaan dapat membantu memastikan kelangsungan ekonomi di negeri Kedah, terutamanya usahawan dalam memasarkan produk mereka.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here