Normal baharu di bulan Ramadan, hikmah besar kepada umat Islam

KUALA LUMPUR – Hari ini masuk hari ke-37 pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan esok dijangka buat pertama kali umat Islam di negara ini akan mula berpuasa dalam satu suasana normal baharu berikutan penularan pandemik COVID-19.

Keadaan di lebuh raya dijangkakan lengang dan tidak sesak seperti tahun-tahun sebelumnya dengan kenderaan warga kota yang ingin pulang ke kampung bagi menyambut bulan Ramadan kerana tiada sebarang pergerakan rentas negeri dibenarkan sepanjang tempoh PKP ini bagi menyekat penularan COVID-19.

Bagaimanapun, mereka yang ingin kembali ke rumah masing-masing diberi kelonggaran berbuat demikian dengan membuat permohonan secara dalam talian mulai Sabtu ini, menggunakan aplikasi ‘Gerak Malaysia’ atau memohon di balai polis berhampiran.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, memaklumkan kebenaran ini bukan lesen untuk orang ramai melakukan pergerakan secara besar-besaran kerana jika tidak, usaha kerajaan melaksanakan PKP dan perjuangan barisan hadapan untuk memutuskan rantaian penyakit itu sebelum ini akan menjadi sia-sia.

Bulan Ramadan kali ini juga pasti dirindui untuk menunaikan solat tarawih berjemaah di masjid selain kemeriahan bazar Ramadan yang menjual pelbagai juadah seperti martabak, popia, ayam golek dan air katira.

Walaupun tahun ini tiada bazar Ramadan, namun perkhidmatan e-bazar tetap ada dengan penghantaran melalui perkhidmatan e-hailing untuk menghantar juadah yang dikehendaki.

Kerajaan juga telah memberi jaminan barangan basah dan keperluan asas lain mencukupi untuk menampung permintaan rakyat seluruh negara secara berterusan termasuk sepanjang bulan Ramadan.

Anggaplah bulan Ramadan kali ini bukan sahaja perjuangan kita untuk menentang nafsu, lapar dan dahaga, tetapi juga perjuangan menentang virus COVID-19 yang telah meragut banyak nyawa di seluruh dunia.

Jadi teruslah bertahan, duduk diam-diam di rumah, kerana kita sudah hampir untuk mencapai kejayaan.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here