ROMPIN: Seorang peniaga dalam talian di sini menanggung kerugian RM108,300 selepas ditipu seorang wanita menawarkan penjualan penutup muka.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 34 tahun mendakwa telah menempah barangan itu daripada seorang wanita kononnya dari Pulau Pinang menerusi WhatsApp pada 3 April lepas.
“Mangsa mendakwa bayaran itu dibuat secara pemindahan wang sebanyak sembilan transaksi bagi membeli 2,700 kotak penutup hidung dan mulut yang setiap satu bernilai RM40”, katanya.
Beliau berkata, suspek mendakwa barangan itu akan dihantar ke rumah mangsa di FELDA Keratong di sini dengan menggunakan lori dan jangkaan tiba pada Isnin lalu,” katanya.
Mohd Wazir berkata, mangsa bagaimanapun mendakwa hingga semalam, barangan itu masih belum diterima, selain gagal menghubungi suspek, menyebabkan dia berasa ditipu.
Mangsa membuat laporan di Balai Polis Tun Abd Razak, Rompin semalam dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.