Pergerakan pelajar pulang ke kampung halaman ikut lima zon utama

KUALA LUMPUR: Pergerakan kira-kira 100,000 pelajar universiti yang terkandas di asrama atau rumah sewa susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan pulang ke kampung megikut lima zon utama.

Ia akan membabitkan Zon Utara, Zon Selatan, Zon Timur, Zon Tengah dan Zon Sabah-Sarawak. Pemecahan mengikut zon itu bagi memastikan tidak berlaku perhimpunan besar demi kesihatan pelajar.

Pergerakan pelajar juga akan diselia sendiri oleh Timbalan-Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), manakala Bahagian Mahasiswa Holistik (BMH) di Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) pula sebagai penyelaras.

Difahamkan juga, proses berkenaan membabitkan menghantar pulang pelajar universiti awam (UA), pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) swasta, penuntut politeknik dan Kolej Komuniti yang terkandas sejak lebih sebulan lalu.

Antara agensi terbabit dalam menguruskan proses penghantaran pulang pelajar adalah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mengenai pelajar UTeM yang berada di asrama atau rumah sewa sejak PKP dilaksanakan, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof Madya Dr Nurulfajar Abd Manap, memaklumkan, ada 838 pelajar berada di kolej kediaman, manakala 1,189 lagi di rumah sewa berhampiran dan daripada jumlah keseluruhan itu, 140 adalah penuntut dari Sabah dan 200 dari Sarawak.

UTeM akan turut menyediakan bas universiti untuk menghantar pulang pelajar mengikut prosedur yang ditetapkan. Beliau menjelaskan pihaknya hanya menunggu kelulusan diumumkan kerajaan dan yakin pergerakan pelajar dapat dijalankan dengan teratur jika semua pihak mematuhi SOP ditetapkan.

“KPT sentiasa memberi status terkini kepada universiti dalam usaha menjaga kebajikan dan kesejahteraan pelajar yang terkandas. Sebaik kelulusan diterima, jadual akan dikeluarkan agar pergerakan pelajar dari setiap UA dan yang lain berjalan dengan teratur,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pelajar yang terkandas supaya bersabar kerana proses penghantaran pulang tidak boleh dilakukan secara sekali gus dan tahap keselamatan dan kesihatan pelajar harus dipentingkan dari semasa ke semasa. Namun, turut membimbangkan destinasi pelajar berada dalam zon merah, di mana memerlukan kaedah penghantaran pulang yang khusus.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here