KUALA LUMPUR: Polis akan memburu setiap individu yang melepaskan diri dari kawasan terbabit Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pihak polis akan mengesan mereka sedaya-upaya kerana bimbang individu terbabit berisiko mempunyai jangkitan COVID-19.
“Penghuni di bangunan Selangor Mansion melarikan diri dan apabila ditemui, dua daripada mereka dikesan positif virus itu”, katanya.
“Inilah sebab utama mengapa kita tidak memberitahu awal-awal lokasi itu dikenakan PKPD kerana bimbang akan ada kes melarikan diri,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat menteri mengenai pelaksanaan PKP di Putrajaya dekat sini, hari ini.
Ismail Sabri berkata, isu di PKPD di utara ibu negara akan diselesaikan hari ini dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mengambil tindakan sewajarnya.
“Di setiap PKPD, kita ada pusat operasi tersendiri dan mereka yang mempunyai masalah boleh berhubung dengan pusat operasi ditubuhkan termasuk mahu mendapatkan barangan selain barangan dibekal,” katanya.