China sumbang 100,000 topeng muka kepada petugas perubatan

KUALA LUMPUR: Kerajaan China menyumbang 100,000 topeng muka kepada Jawatankuasa Kerja Keselamatan Wilayah Persekutuan hari ini.

Sumbangan itu diserahkan Duta Besar China Bai Tian, kepada Malaysia Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Annuar berkata, sumbangan topeng muka itu mampu memanfaatkan lebih 6,000 petugas barisan hadapan di Wilayah Persekutuan untuk kira-kira 20 hari akan datang.

“Untuk Wilayah Persekutuan, kita perlukan sekurang-kurangnya 6,000 topeng muka setiap hari untuk digunakan 1,500 anggota polis, 1,500 anggota tentera, 2,000 penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta sejumlah anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

“Kita berterima kasih atas sumbangan ini. Pada masa sama, kerajaan Malaysia membelinya dalam jumlah besar dan kita ada bekalan mencukupi.

“Apa yang penting ialah kita nak pastikan semua petugas barisan hadapan sentiasa memiliki kelengkapan perlindungan diri (PPE), khususnya yang bertugas dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya.

Annuar berkata, pihaknya bercadang mengagihkan topeng muka secara percuma kepada pekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang, yang kembali beroperasi hari ini.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here