E-bazar Ramadan sudah aktif jual di laman Facebook

KUALA LUMPUR – Ramadan yang disambut seluruh umat Islam khususnya di Malaysia berbeza pada kali ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan memasuki fasa ke-4 hujung bulan ini.

Namun, keadaan pastinya tidak sama bagi tahun ini apabila para peniaga rata-ratanya beralih kepada alternatif jualan secara dalam talian sepanjang bulan Ramadan. Pelbagai kumpulan bazar Ramadan di seluruh negara telah diwujudkan dalam laman sosial Facebook.

Hanya dengan menaip perkataan bazar Ramadan pada ruangan carian Facebook, tentunya pelbagai nama kumpulan akan tertera antaranya Bazar Ramadan Online (BRO) Ampang, Batang Kali, Shah Alam, Seremban, Ipoh, Taiping, Satok-Petrajaya, Semporna, Kuala Nerus, Dungun, Batu Pahat dan lain-lain kawasan.

Pelbagai juadah makanan dan minuman yang popular serta menjadi pilihan orang ramai ketika berbuka puasa antaranya bubur lambuk, martabak, roti John, sup ‘gearbox’, ayam percik, air katira, cendol, popia basah, kuih tepung pelita dan sebagainya kelihatan mulai meriah diiklankan serta dipromosi para peniaga dalam kumpulan masing-masing.

Zulbahri Atan, 50, yang berniaga pelbagai jenis minuman istimewa di Bazar Ramadan Batu Pahat, Johor sejak lapan tahun lepas berkata bulan puasa kali ini merupakan kali pertama memulakan perniagaan secara dalam talian dengan menyertai kumpulan BRO Batu Pahat.

Beliau yang terkenal sebagai penjual minuman istimewa air ‘cikong’ (laicikang) dan katira dalam kalangan penduduk sekitar Batu Pahat berkata pada mulanya berasa ragu-ragu untuk berniaga secara dalam talian kerana tidak biasa.

“Saya fikir tidak mahu berniaga tahun ini memandangkan tiada bazar Ramadan dibenarkan beroperasi seperti tahun-tahun lepas kerana COVID-19 dan PKP. Tapi bila ada pelanggan dan permintaan yang ramai, tidak mampu untuk menolak.

Sementara itu, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Kementerian Kesihatan dalam laman rasminya turut mengeluarkan beberapa garis panduan bagi keselamatan makanan sebagai rujukan penyediaan makanan bagi pengusaha makanan dari rumah (Home-Based).

Antara syarat asas yang perlu dipatuhi seseorang pengendali makanan ialah telah mendapatkan suntikan vaksin antitifoid, amalkan kebersihan sepanjang mengendali makanan seperti kerap mencuci tangan dengan sabun, menggunakan penyepit atau sarung tangan, memakai penutup hidung dan mulut serta persekitaran memasak termasuk alatan penyediaan yang digunakan adalah bersih.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here