Jadual imunisasi anak perlu jalan seperti biasa walaupun PKP, kata Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan program imunisasi di fasiliti kesihatan berjalan seperti biasa dan ibu bapa disaran menepati jadual imunisasi dan tarikh janji temu yang telah ditetapkan oleh petugas kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ibu bapa yang telah pulang ke kampung perlu membuat janji temu untuk imunisasi anak mereka di mana-mana klinik kesihatan kerajaan atau swasta yang berdekatan bagi mengelakkan daripada keciciran imunisasi.

Beliau berkata kelewatan penerimaan imunisasi akibat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh meningkatkan risiko pendedahan bayi dan kanak-kanak terhadap penyakit cegahan vaksin seperti campak dan polio mungkin mengancam nyawa jika tidak dibendung.

Imunisasi kanak-kanak perlu diteruskan untuk mengekalkan imuniti kelompok tinggi,” katanya dalam kenyataan sempena Minggu Imunisasi Sedunia yang disambut pada 24 hingga 30 April setiap tahun.

Pada tahun ini, tema ‘Vaksin Berkesan Untuk Semua’ (#VaccinesWork for All) telah dipilih Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dengan bertujuan mempromosikan penggunaan dan kepentingan vaksin untuk melindungi semua golongan umur daripada penyakit cegahan vaksin.

Dr Noor Hisham berkata imunisasi telah terbukti sebagai salah satu daripada intervensi kesihatan awam yang paling berjaya dan kos efektif dalam mengurangkan kematian penyakit cegahan vaksin.

Tambah beliau, sejarah dan fakta telah membuktikan bahawa imunisasi telah menyelamatkan jutaan nyawa di seluruh dunia. Bagaimanapun, dalam dua tahun kebelakangan ini, beberapa negara di seluruh dunia mengalami penularan wabak penyakit cegahan vaksin seperti ‘measles’ (campak) dan polio.

“Sehingga kini, terdapat empat kes polio yang disahkan melalui ujian makmal serta dua kes polio serasi (compatible) yang menepati ciri klinikal penyakit polio dengan kesemua kes ini berlaku di negeri Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata KKM menghargai individu dan organisasi yang telah menyumbang kepada kejayaan program imunisasi, terutama kepada petugas kesihatan barisan hadapan yang terlibat dalam pemberian vaksin termasuk anggota masyarakat yang menyokong program imunisasi. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here