JKM nafi agih bantuan bakul makanan dengan nilai rendah

PUTRAJAYA – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menafikan wujud pengagihan bantuan bakul makanan dengan nilai rendah seperti didakwa sesetengah pihak ketika ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun pada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan hari ini.

“Sebenarnya, isu yang dibangkitkan adalah jumlah bantuan makanan yang tidak mencukupi, konon jumlah yang diberi ada RM35 sahaja.

“Menteri (Rina) sudah maklumkan bahawa JKM menerima sumbangan dari NGO dan pelbagai pihak. Tetapi nilai dan kos sumbangan tidak ditetapkan, boleh jadi RM30, RM50 RM70, RM100, RM200 itu terserah. Menteri juga maklumkan, itu bukan bakul dari JKM,”  katanya pada sidang media, hari ini.

Pada 17 April dilaporkan, kira-kira 1.1 juta isi rumah seluruh negara mendapat manfaat daripada agihan bantuan bakul makanan daripada JKM dan melibatkan 279,223 penerima yang terkesan dengan PKP.

Ditanya mengenai langkah diambil kerajaan berhubung kes positif COVID-19 di Selangor Mansion yang masih mencatatkan jumlah tinggi, Ismail Sabri berkata perkara itu berada dalam kawalan memandangkan kawasan berkenaan juga telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

 

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here