KUALA LUMPUR: Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang dibenarkan untuk kembali beroperasi bermula hari ini, selepas kawasan itu selesai menjalani proses sanitasi selama tiga hari berturut-turut.
Bagaimanapun, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, menegaskan operasi pasar borong itu akan dipantau pihak berkuasa supaya mematuhi peraturan dan prosedur yang ketat bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19 dalam kalangan pekerja di situ.
Sekiranya peniaga tidak mematuhi peraturan dan prosedur ketat itu, tegasnya, kerajaan akan menghentikan operasi pasar borong berkenaan.
Antara peraturan itu, katanya, peniaga di pasar borong tidak boleh menggunakan pekerja yang terbabit dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), sebaliknya perlu menggunakan pekerja lain untuk menjual dan menguruskan barangan.
“Satu pasukan khas akan memantau operasi pasar borong setiap hari supaya patuh prosedur baharu, antaranya lori kena masuk mengikut giliran, sama ada datang dari Cameron Highlands atau mana-mana kawasan lain.
“Pelanggan dan peniaga perlu masuk secara bergilir. Selain penjual, pekerja yang mengangkat barangan juga perlu pakai topeng muka, mencuci tangan, memakai sarung tangan dan sebagainya.
Berhubung bekalan makanan dalam kawasan PKPD di sekitar pusat bandar utara di Selayang dan Pasar Borong Kuala Lumpur, Annuar memberi jaminan semua penduduk terbabit berjumlah sekitar 16,000 orang akan menerima bekalan makanan asas.
“Jika ada yang tak cukup bekalan makanan, termasuk warga asing, mereka boleh guna talian khas yang diwujudkan di setiap parcel, dan laporkan pada pusat tindakan di situ,” katanya.