JOHOR BAHRU: Johor akan memberi insentif khas RM300 sebulan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada petugas baris hadapan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ayub Jamil berkata, pembayaran kesemua insentif ini memperuntukkan perbelanjaan berjumlah RM1.5 juta selama tempoh tiga bulan PKP dilaksanakan dari Mac hingga Mei ini.
Insentif khas itu akan memanfaatkan 1,681 petugas dari 16 PBT merangkumi dua Majlis Bandaraya, tujuh Majlis Perbandaran dan tujuh Majlis Daerah di negeri ini.
“Kerajaan Negeri Johor mengambil berat kebajikan dan jasa petugas barisan hadapan (frontliner) PBT yang telah bertungkus-lumus memantau serta menguatkuasakan ketetapan badan kerajaan ini sepanjang PKP berjalan sejak 18 Mac lalu.
“Insentif khas ini akan diberikan kepada anggota barisan hadapan PBT yang perlu bertugas sepanjang tempoh PKP berkuat kuasa. Insentif ini akan diteruskan sekiranya PKP dilanjutkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Kriteria penerima insentif akan diberi kepada semua gred jawatan di bawah Skim Inspektor Kesihatan/Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Penguatkuasa (Pegawai Penguatkuasa dan Pembantu Penguatkuasa).