PKP fasa keempat bertujuan matikan wabak Covid-19, kata pakar epidemiologi

KUALA LUMPUR: Lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 12 Mei ini, pertambahan lagi tempoh dua minggu diyakini bertujuan untuk ‘mematikan’ wabak COVID-19 yang masih berada dalam kalangan komuniti atau dirujuk sebagai kes sporadik.

Pakar epidemiologi dari Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud, menjangkakan sasaran Kementerian Kesihatan untuk merekodkan angka tunggal dalam kes baharu berupaya dicapai, namun lebih terarah kepada sasaran untuk ‘mematikan’ virus COVID-19 dalam komuniti. 

“Kalau kita boleh rekodkan tiada jangkitan langsung dalam tempoh dua minggu setengah memasuki PKP fasa keempat, maka ini merupakan keadaan yang sangat ideal.

“Namun, timbul kerisauan mengenai status kesihatan kumpulan pendatang tanpa izin dan buruh asing. Jika mereka ini tidak disaring dan dibenarkan kembali bekerja, saya risau ia akan cetuskan penularan serta kluster baharu seperti yang berlaku di Singapura,” katanya.

Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi dan Biostatistik) dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman, pula berkata pertambahan 14 hari dalam PKP fasa keempat berupaya digunakan untuk ‘memburu’ kemungkinan kluster dan subkluster jangkitan COVID-19 dalam kalangan masyarakat.

“Lanjutan ini sebenarnya pendekatan serampang dua mata, iaitu untuk beri peluang masyarakat biasakan diri dengan corak kehidupan berteraskan norma baharu dan kesempatan untuk petugas kesihatan membasmi wabak COVID-19 secara keseluruhan.

“Berdasarkan perbincangan kami dalam kalangan pakar, termasuk membabitkan epidemiologi, PKP berkemungkinan dilanjutkan lagi sehingga selepas Aidilfitri kerana perayaan ini lazimnya menyaksikan aktiviti saling berkunjung dan ramah mesra dilakukan pelbagai lapisan masyarakat di Malaysia”, katanya.

“Selain itu, kita bimbang dengan ‘lokasi tersorok’ lubuk kes COVID-19 seperti Malayan Mansion, Selangor Mansion dan beberapa tempat lagi yang menjadi penempatan majoriti warga asing.

“Kalau kes di tempat seperti ini tidak ditangani di peringkat awal menerusi saringan secara besar-besaran, maka PKP akan terus dilanjutkan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here