Kenderaan peniaga dengan pas khas sahaja dibenarkan masuk Pasar Borong Selayang

KUALA LUMPUR: Selepas tiga hari menjalani proses sanitasi, Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang kembali rancak beroperasi semalam dengan menerima kehadiran peniaga dan pembeli.

Tinjauan Bernama hari ini mendapati hanya kenderaan peniaga seperti lori, van dan pacuan empat roda yang dimiliki mereka sahaja dibenarkan melepasi sekatan polis sebelum boleh memasuki premis berkenaan.

Kebenaran membawa kenderaan memasuki premis hanya diberikan kepada peniaga yang mempunyai pas khas daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selain surat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi memperakui syarikat perniagaan mereka.

Berdasarkan tinjauan sejak pagi tadi sehingga kini, kelihatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan pemeriksaan ketat ke atas peniaga dan pembeli sebelum boleh dibenarkan memasuki premis itu.

Petugas media juga tidak dibenarkan masuk kecuali di luar perkarangan pasar borong sahaja bagi mendapatkan bahan liputan terkini.

Selain itu, turut kelihatan petugas kesihatan yang ditempatkan di pintu masuk pasar borong berkenaan bagi melakukan pemeriksaan suhu terhadap sesiapa yang memasuki premis berkenaan.

Semalam, Pasar Borong Kuala Lumpur yang sebelum ini ditutup sejak Selasa lepas dibenarkan kembali beroperasi selepas kawasan itu selesai menjalani proses sanitasi selama tiga hari berturut-turut.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata proses sanitasi di pasar borong berkenaan dijalankan berikutan ramai pekerja di pasar borong itu tinggal di dalam kawasan yang kini dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here