
KUALA LUMPUR: Beberapa persatuan dari komuniti Rohingya di negara ini memohon maaf kepada kerajaan persekutuan serta seluruh rakyat Malaysia atas beberapa kenyataan individu bernama Zafar Ahmed Abdul Ghani yang dilihat menimbulkan kemarahan beberapa pihak.
Dalam kenyataan bersama yang ditandatangani 17 NGO terbabit menjelaskan, kenyataan dikeluarkan Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (MERHROM), Zafar Ahmad Abdul Ghani itu menimbulkan salah faham dan menyebabkan wujudnya sentimen negatif terhadap pelarian Rohingya di Malaysia.
“Dia telah diguna oleh musuh kami di Malaysia dan di Myanmar untuk mencemarkan imej kami, serta mengganggu penempatan aman di Malaysia sementara kami dibenarkan pulang ke Myanmar atau pergi ke negara lain.
“Kami pelarian Rohingya tidak pernah melantik Zafar Ahmad sebagai presiden kami, beliau bukan pemimpin kami dan sebenarnya kami tiada pemimpin di Malaysia. Beliau tiada hak untuk mengeluarkan kenyataan mewakili kami.
“Malah, amat membingungkan bahawa Zafar Ahmed tidak boleh menulis mahu pun berbicara dalam Bahasa Inggeris, dan Bahasa Melayu, atau apa apa bahasa bahasa sekali pun, tetapi dia mampu membuat kenyataan yang tidak berpatutan, sekali gus merisikokan penempatan aman kami di sini,” kata komuniti berkenaan lagi.
“Kami bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan semua rakyatnya kerana membenarkan kami tinggal di negara ini buat sementara waktu sebelum dapat pulang ke negara asal atau ditempatkan di negara ketiga yang lain,” katanya.
Zafar Ahmad sebelum ini didakwa mengeluarkan kenyataan menghina rakyat Malaysia, menuntut hak kerakyatan penuh dan mempertikaikan tindakan pihak berkuasa menghalang kapal membawa pelarian etnik itu daripada mendarat di negara ini.
“Kami merayu kepada pihak berkuasa Malaysia untuk mengambil tindakan tegas ke atasnya, jika tidak, individu ini akan terus mengeluarkan kenyataan yang berisiko tinggi dan boleh membahayakan nasib kaum Rohingya di negara ini.