KUANTAN – Mahkamah Syariah di negeri ini dibenarkan bersidang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tertakluk kepada syarat dan tatacara ditetapkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Pahang (JKSP).
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata persetujuan itu bagi membolehkan umat Islam di Pahang berurusan dengan Mahkamah Syariah berkaitan perbicaraan dan persidangan mahkamah hanya dilakukan pada Isnin sehingga Khamis bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari.
Menurutnya, hanya tiga kes sahaja ditetapkan untuk sesi pendengaran setiap hari dan keutamaan bagi kes-kes pengesahan lafaz cerai, nafkah anak, nafkah isteri, hadhanah yang dipersetujui kedua-dua pihak. Malah turut dipertimbangkan bagi kes permohonan wali hakim dan permohonan kebenaran nikah bawah umur.
“Mahkamah yang terbabit ialah Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Temerloh dan Bentong serta Mahkamah Rendah Syariah Kuantan, Temerloh, Bentong, Pekan dan Rompin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Rosdy berkata, hanya pihak-pihak berkenaan termasuk seorang hakim dan pendaftar, pembantu syariah, pegawai bahagian kewangan,seorang anggota polis dan peguam syarie yang dilantik sahaja dibenarkan hadir dan mereka berkenaan perlu mematuhi garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi langkah pencegahan.
“Mereka juga diperiksa suhu badan, memakai penutup mulut dan hidung serta menjarakkan diri antara satu sama lain pada kedudukan satu meter di mana-mana tempat dalam kawasan Mahkamah Syariah termasuk di dewan perbicaraan”, jelasnya.
Wan Rosdy berkata, ruang tempat kerja, dewan bicara, kamar hakim, bilik sulh pejabat perlu dinyahkuman atau disinfeksi di permukaan yang mudah dicemari kuman.