Pemandu teksi ambil, hantar penderma darah secara percuma sejak PKP

KUALA LUMPUR: Sejak 11 tahun lalu, Mohamad Azuan Abdullah, 40, seorang pemandu teksi menderma darah setiap tiga bulan sekali untuk menampung keperluan tabung darah negara bagi membantu pesakit yang memerlukan.

beliau turut melaksanakan khidmat masyarakat dengan mengambil dan menghantar penderma darah sekitar ibu negara secara percuma sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mengakui pendapatannya terjejas selepas pelaksanaan PKP, ia bukan halangan untuk beliau meneruskan niatnya menawarkan perkhidmatan itu demi memastikan tabung darah negara sentiasa menerima bekalan darah daripada penderma.

“Inisiatif itu diambil untuk membantu mana-mana penderma sekitar Kuala Lumpur untuk sama-sama menderma ketika PKP, mungkin mereka ada batasan untuk keluar dan saya sebagai pemandu teksi apa salahnya membantu mengambil dan hantar mereka pulang”, katanya.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, setakat ini beliau telah mengambil dan menghantar lapan orang yang ingin menderma darah ke Pusat Darah Negara (PDN).

“Ada daripada mereka kawan saya, ada yang saya tidak kenal, mereka hanya mesej saya di Facebook dan tetapkan masa untuk pergi menderma,” kata beliau yang mempromosikan perkhidmatan itu melalui media sosialnya.

Sementara itu, Pengarah PDN Dr Noryati Abu Amin berkata pihaknya berterima kasih dan menghargai usaha Mohamad Azuan dan ia inisiatif perseorangan yang dilakukan beliau untuk membantu penderma yang lain.

Beliau berkata, selain menjadi penderma darah, PDN juga menggalakkan masyarakat untuk membantu dalam aktiviti penganjuran kempen pendermaan darah dalam usaha memastikan bekalan darah yang selamat adalah mencukupi untuk kegunaan pesakit di seluruh negara pada setiap masa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here