Rakyat boleh mohon pulang jika terkandas di kampung mulai hari ini

KUALA LUMPUR: Rakyat yang terkandas di kampung halaman dan berhasrat untuk pulang ke kediaman masing-masing boleh membuat permohonan menerusi aplikasi Gerak Malaysia, ia akan dibuka sehingga 29 April, bermula hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata individu terbabit perlu memasukkan butiran peribadi seperti nama, nombor MyKad, alamat, nombor telefon dan alamat emel selepas memuat turun aplikasi terbabit.

“Pengguna juga perlu memberi kebenaran kepada aplikasi itu untuk mengakses sistem pengesanan lokasi (GPS) bagi mengesahkan lokasi semasa pemohon, bagi meluluskan pergerakan itu”, katanya.

“Aplikasi Gerak Malaysia dapat membantu polis mengenal pasti jumlah individu yang bakal terbabit dan menyediakan jadual perjalanan bagi kelancaran operasi. Dalam hal ini, pemohon perlu mengemas kini permohonan pada tarikh dibenarkan berlepas, supaya kod QR dapat dijana secara automatik,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mengulas lanjut, Huzir berkata, pihaknya sudah menyusun jadual perjalanan bagi memudahkan pergerakan permohon, dari 1 hingga 3 Mei ini.

“1 Mei membabitkan perjalanan dari Perak, Johor dan Kelantan, 2 Mei (Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang) dan 3 Mei (Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu)”, katanya.

“Perjalanan perlu dilakukan pada hari ditetapkan mengikut permit pergerakan diluluskan. Maklumat lanjut dan garis panduan lain akan diumumkan oleh polis pada 29 April ini. Permohonan untuk mendapatkan permit pergerakan rentas negeri sahaja akan diproses buat masa ini”, jelasnya.

“Dengan permit pergerakan dijana melalui kod QR dalam aplikasi telefon pintar, orang ramai hanya perlu menunjukkan kod itu ketika melalui sekatan jalan raya untuk dimbas oleh pihak berkuasa,” katanya.

Bagi mereka yang tiada kemudahan telefon pintar, permohonan boleh dibuat di balai polis berhampiran namun perlu membuat temu janji terlebih dahulu bagi mengelakkan kesesakan di balai polis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here