PUTRAJAYA: Dianggarkan sebanyak 100,000 pelajar dari Institusi Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta, Politeknik dan Kolej Komuniti terbabit dalam pergerakan pulang ke kampung halaman hari ini secara berperingkat.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata pelajar yang berada dalam zon hijau sahaja dibenarkan pulang ke rumah masing-masing yang juga terletak dalam zon hijau ketika ini.
“Persiapan rapi sedang dilakukan bagi menghantar para pelajar dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.
Jelasnya, KPT telah menyediakan perkhidmatan pengangkutan untuk membawa pelajar dari pusat pelepasan di IPT yang telah dikenalpasti ke destinasi masing-masing.
Noraini turut jelas, setiap perkhidmatan pengangkutan akan diiringi oleh seorang pegawai perhubungan yang mempunyai senarai lengkap pelajar.
Saringan gejala (suhu badan, sakit tekak, batuk, selsema dan sesak nafas) akan dijalankan oleh KKM dan Pusat Kesihatan Universiti (PKU) sebelum pergerakan pelajar.
“Pelajar diingatkan untuk sentiasa menjaga penjarakan sosial (social distancing), memakai topeng muka (face mask) di sepanjang perjalanan dan mengamalkan kebersihan dengan memakai hand sanitizer,” kata Menteri Pengajian Tinggi itu.