148 mangsa dipindahkan ke dua PPS dalam banjir kilat di P.Pinang

BUKIT MERTAJAM: Seramai 148 mangsa termasuk tujuh bayi dan warga emas dari Taman Mangga di Juru, Pulau Pinang dipindahkan ke dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas kediaman mereka dinaiki air.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh, kesemua mangsa terdiri daripada 60 keluarga kini ditempatkan di Dewan SJKC True Light dan Sekolah Kebangsaan Juru apabila kedua-dua PPS itu dibuka mulai jam 11 malam Ahad berikutan kawasan mereka dinaiki air akibat hujan lebat.

Kesemua mangsa yang dipindahkan terdiri daripada 41 lelaki dewasa, 55 wanita dewasa, tujuh bayi, 21 kanak-kanak lelaki dan 20 kanak-kanak perempuan, serta empat warga emas.

Sejumlah 115 mangsa daripada  27 keluarga ditempatkan di PPS  SJKC True Light manakala 33 mangsa daripada sembilan keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Juru.

Menurutnya, petugas turut mengambil suhu badan mangsa bagi memastikan semua mereka tidak demam dan setakat ini mangsa yang dipindahkan ke PPS tersebut dalam keadaan sihat selain mereka diletakkan mengikut penjarakan sosial bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Ketika ini, cuaca di kawasan Bukit Mertajam dan Juru dalam keadaan baik serta banjir telah surut.

Hujan lebat yang turun bermula jam 3 petang menyebabkan kawasan di Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Georgetown dinaiki air di antara 0.1 hingga 0.5 meter.

Hujan lebat lebih dua jam di Pulau Pinang semalam telah menyebabkan banyak kawasan di negeri Pulau Pinang dilanda banjir kilat dan beberapa buah rumah di daerah Seberang Perai Utara (SPU) turut mengalami kerosakan akibat ribut.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here