KUALA LUMPUR: Kira-kira 95 peratus pesakit COVID-19 dirawat menggunakan kaedah perubatan tradisional Cina di Wilayah Hubei, kata Ketua Pakar Perubatan dan Naib Presiden Hospital Perubatan Tradisional Cina Wilayah Guangdong, Dr Li Jun.
Dr Li, yang mengetuai tujuh pakar perubatan lain dari China dalam misi berkongsi pengalaman memerangi wabak COVID-19 ke Malaysia, berkata kaedah perubatan tradisional itu turut digunakan dalam usaha mengekang penularan jangkitan COVID-19 di wilayah berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya sentiasa mengkaji keberkesanan pelbagai jenis ubat-ubatan, termasuk vaksin yang digunakan bagi mengubati wabak SARS dan Mers-Cov. Namun, apabila digunakan untuk COVID-19, ia sebaliknya menunjukkan kesan sampingan terhadap sesetengah pesakit.
“Walaupun masih belum ada lagi vaksin untuk COVID-19 namun buat masa sekarang, ubat tradisional Cina digunakan secara meluas untuk merawat simptom seperti demam, batuk ataupun masalah pencernaan bagi pesakit di China.
“Ia juga sekali gus dapat mengurangkan penggunaan mesin bantuan pernafasan, memandangkan ubat tradisional terbukti dapat melancarkan sistem pernafasan dan pencernaan pesakit COVID-19 kronik yang terlantar lama di wad,” jelas beliau.
“Kami telah mengadakan dialog dengan KKM, hospital, pusat penyelidikan serta beberapa jabatan kesihatan dan mendapati Malaysia mampu mengawal wabak ini dengan berjaya, apabila beberapa hari ini menunjukkan penurunan kes positif yang ketara”, katanya.
“Vaksin itu perlu dihasilkan secepat mungkin memandangkan ia satu keperluan yang tidak boleh dilengah-lengahkan kerana wabak itu merebak dengan cepat di kebanyakan negara di seluruh dunia,” katanya.
Pasukan perubatan China yang terdiri daripada lapan pakar Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China, cawangan Guandong itu tiba di Malaysia pada Sabtu lalu dan akan berada di negara ini selama dua minggu untuk berkongsi pengalaman serta kepakaran dalam memerangi COVID-19.