KUALA LUMPUR: Badan Peguam Malaysia menggesa kerajaan memberi kebenaran kepada firma guaman untuk meneruskan operasi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Badan profesion perundangan itu memainkan peranan penting dan tugas mereka tidak dapat digantikan dalam ekonomi untuk memberi sokongan kepada pelbagai sektor seperti sektor hartanah dan perbankan, operasi membabitkan kontrak dan urus niaga, pasaran modal, pemulihan hutang, ketakmampuan bayar serta perlindungan hartanah intelek.
“Bagaimanapun kebenaran kepada firma guaman untuk beroperasi hanya akan bermakna sekiranya agensi lain turut dibenarkan berbuat demikian”, kata Presiden Badan Peguam Malaysia, Salim Bashir.
“Ini termasuk pejabat tanah, pesuruhjaya sumpah, pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan pelbagai pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Sehubungan itu, kami menerima untuk menjalin kerjasama dengan kerajaan bagi menghasilkan prosedur operasi standard (SOP) yang akan menggabungkan keperluan dan garis panduan daripada Kementerian Kesihatan secara praktikal dan cekap kos”, jelas beliau.
“Oleh itu, Badan Peguam sudah menghubungi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan pihak berkuasa lain yang berkaitan dalam usaha kami untuk membawa perkara ini ke hadapan”, katanya.
Katanya, firma guaman dan pekerja mereka penting untuk terus bertahan dalam mengharungi cabaran COVID-19 dan lanjutan tempoh PKP sekiranya negara berharap pandemik ini akan pulih.