Dalam tempoh 12 jam, PDRM terima 300,000 permohonan daftar aplikasi Gerak Malaysia

KUALA LUMPUR – Hanya dalam tempoh 12 jam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima kira-kira 300,000 permohonan permit pergerakan antara negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melalui aplikasi Gerak Malaysia dan angka tersebut dijangka meningkat menjelang 1 Mei.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed, daripada jumlah tersebut, 100,000 individu memohon untuk mendapatkan permit pergerakan bagi melakukan perjalanan kerana terkandas di kampung halaman dan tidak sempat pulang ke rumah masing-masing susulan pengisytiharan PKP.

“Amat perlu bagi polis memastikan bahawa setiap permohonan yang diterima adalah untuk tujuan yang dibenarkan sahaja, supaya perancangan pergerakan antara negeri dapat berjalan dengan lancar dan tidak menyulitkan pengguna-pengguna lebuh raya atau jalan raya yang terbabit “, katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dalam tempoh yang ditetapkan, pihak polis akan memantau dan menilai trend permohonan yang diterima melalui aplikasi tersebut.

Hasil pemantauan dan penilaian, katanya, akan dimaklumkan kepada kerajaan agar tarikh pergerakan seperti mana yang diumumkan semalam dapat dikaji semula dan diselaraskan mengikut jumlah permohonan yang diterima.

Huzir juga menasihatkan orang ramai agar dapat memberi kerjasama dengan hanya memohon untuk mendapatkan permit pergerakan atas sebab sahih seperti yang ditetapkan.

“Perkembangan lanjut mengenai jadual pergerakan antara negeri tersebut akan diumumkan kelak,” katanya. 

Hari ini Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata  bahawa tarikh pergerakan kepada mereka yang berada di kampung untuk pulang ke destinasi masing-masing bukan bermula pada 1 Mei ini. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here