KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuka perkhidmatan kaunternya hanya untuk urusan kenderaan perdagangan bermula Rabu ini.
JPJ dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan, perkhidmatan kaunter itu tidak membabitkan kenderaan persendirian, teksi dan e-hailing. Namun, pengecualian pembaharuan Lesen Kenderaan Bermotor (LKM) dan Lesen Memandu masih berkuat kuasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“JPJ akan membuka khidmat kaunter pada hari bekerja bermula jam 8 pagi hingga 1 tengah hari dan membabitkan urusan pembaharuan lesen kenderaan perdagangan dan penyelesaian senarai hitam serta pembayaran saman.
“Arahan pembukaan bagi perkhidmatan JPJ yang lain akan dimaklumkan selanjutnya berdasarkan perkembangan semasa pandemik COVID-19 dan keputusan kerajaan terhadap PKP”, katanya.
Menurut kenyataan, orang ramai yang berurusan di kaunter JPJ wajib mematuhi garis panduan pencegahan COVID-19 yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran sistem penyampaian perkhidmatan. Justeru, Kaedah pembayaran secara e-payment masih digalakkan.