MCO : Pengamal media dilarang terbangkan dron tanpa permit

KUALA LUMPUR: Semua pihak termasuk pengamal media dilarang untuk menerbangkan dron di mana-mana lokasi di seluruh negara tanpa permit daripada CAAM dan juga kebenaran pihak polis dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 12 Mei ini.

Ketua Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Superintendan Rasha Azaldin Shafii, berkata tindakan menerbangkan dron tanpa permit daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) adalah salah mengikut Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 2016 (MCAR 2016).

“Mereka yang melakukan kesalahan mengendalikan dron tanpa kebenaran boleh dikenakan denda minimum RM50,000 atau tiga tahun penjara bagi individu atau denda maksimum RM100,000 untuk badan korporat”,katanya.

Beliau berkata sepanjang pelaksanaan PKP, pihaknya mengesan empat kes pengendalian dron tanpa kebenaran PDRM serta permit CAAM di seluruh negara.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung kes ini dan polis bersedia menggunakan alat drone jammer bagi memastikan tiada pihak yang menerbangkan dron tanpa kelulusan di mana-mana lokasi”, katanya.

Pada 7 April, CAAM telah membenarkan PDRM menerusi Unit Dron PGU mengendalikan  dron bagi tujuan pemantauan dan penguatkuasaan semasa PKP.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here