KUALA LUMPUR – Semua permohonan baharu dan rayuan bagi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) hendaklah dibuat selewat-lewatnya pada 30 April ini, kata Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Setiap permohonan baharu dan rayuan yang diterima akan mula diproses pada Mei. Bagi permohonan yang lulus, bayaran secara sekali gus juga akan dilakukan pada Mei,” katanya.
Menurut LHDN, isi rumah atau individu bujang yang memenuhi kriteria yang ditetapkan, tetapi tidak tersenarai atau tidak lulus BPN boleh berbuat demikian melalui portal rasmi BPN di https://bpn.hasil.gov.my. Pemohon boleh merujuk soalan lazim (FAQ) BPN yang dimuat naik pada portal rasmi tersebut.
Pemberian BPN bagi golongan B40 adalah berdasarkan pangkalan data Bantuan Sara Hidup (BSH), manakala BPN bagi golongan M40 pula adalah berdasarkan data percukaian LHDN.
Katanya, RM480 juta sudah dikreditkan ke dalam 1.2 juta akaun penerima BPN membabitkan golongan M40 sehingga 19 April lalu.