1.34 juta isi rumah dapat manfaat bantuan bakul makanan JKM lebih 300,000

PUTRAJAYA – Sebanyak 336,916 bakul makanan telah diagihkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang memberi manfaat kepada 1.34 juta isi rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) setakat ini, kata Ketua Pengarah JKM Zulkifli Ismail.

“Jumlah ini tidak termasuk sumbangan badan bukan kerajaan (NGO), swasta, individu, lain-lain dan bakul makanan tersebut disediakan melalui sumber peruntukan Kementerian Kewangan dan dana Tabung COVID-19”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, JKM sedang menyelaras pengurusan dan pengagihan bantuan bakul makanan kepada golongan yang memerlukan dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan akan ditersukan sepanjang tempoh PKP.

“Pihak yang memerlukan bantuan khususnya mereka yang belum pernah menerima sebarang bantuan makanan, aduan boleh dibuat kepada Bilik Gerakan JKM di talian 03-83231996 atau JKM Negeri (JKMN) dan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD)  berhampiran dan melalui Talian Kasih 15999“,katanya.

Antara barangan keperluan asas yang diedarkan adalah beras, minyak masak, gula, tepung gandum, susu pekat, garam, mihun, ikan kering atau bilis, kicap, sos cili, sardin, teh atau kopi, biskut, rempah ratus dan cili kering, katanya.

“Sekiranya berlaku kekurangan stok barangan seperti yang disenaraikan atau atas permintaan pihak berkuasa tempatan dan golongan sasar khususnya di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), JKMN dan PKMD akan membuat penggantian barangan yang bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata peranan JKM adalah untuk menerima sumbangan yang disalurkan oleh pihak lain seperti NGO, syarikat swasta dan individu, memeriksa dan mengagihkan sumbangan tersebut kepada golongan yang memerlukan.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here