16,000 warga asing tinggal di kawasan PKPD Pasar Borong Selayang

KUALA LUMPUR – 16,000 warga asing mendiami kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sekitar Pusat Bandar Utara dan Pasar Borong Selayang Kuala Lumpur, berbanding hanya 6,000 rakyat tempatan tinggal di situ, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Menurutnya, bancian terbaru di kawasan itu mendapati daripada jumlah keseluruhan penduduknya iaitu 22,000 orang, seramai 16,000 adalah warga asing termasuk golongan pelarian Rohingya yang memegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

“Ketika bancian awal hanya ada lebih 10,000 warga asing dan setelah dibanci secara terperinci mendapati angka naik sehingga 16,000 (warga asing), namun semua penduduk warga asing dibekalkan dengan makanan”, katanya.

“Tidak mungkin kami akan menggunakan wang ‘pembayar cukai’ untuk bekalan makanan mereka, jadi satu tabung khusus digerakkan bagi mengumpul dana membeli makanan asas kepada warga asing di kawasan PKPD,” katanya di sini, hari ini.

Annuar berkata, sumbangan tabung khusus itu kini sudah mencecah lebih RM1 juta dan orang ramai dialu-alukan untuk memberi sumbangan ke tabung itu menerusi Pusat Pengurusan Krisis Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (CMC) di Jalan Tun Razak.

“Mana-mana pihak yang mahu menyalurkan sebarang bentuk sumbangan bekalan makanan kepada rakyat tempatan di kawasan PKPD akan diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Sementara itu, Annuar berkata, tahap pematuhan rakyat terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar ibu kota semakin baik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here