863 pelajar IPT selamat dihantar pulang ke zon utara malam tadi

KUALA LUMPUR – Dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa 3 yang berakhir hari ini, pelajar Institusi Pengajian (IPT) dapat pulang ke rumah serta individu yang terkandas di kampung boleh kembali ke kediaman masing-masing seperti mana yang diperintah oleh kerajaan baru-baru ini.

Perjalanan sejumlah 1,128 pelajar IPTA dan IPTS dari zon hijau untuk pulang ke kampung halaman masing-masing, yang juga berada dalam zon hijau, bermula malam tadi.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu, seramai 863 pelajar dihantar pulang dari zon tengah ke zon utara malam tadi manakala 265 lagi akan dihantar pulang dari zon utara ke zon tengah pada malam ini.

Sebahagian pelajar dijangka tiba di ‘drop-off point’ pada kira-kira 9 pagi ini dengan hanya seorang ahli keluarga yang mempunyai kenderaan dibenarkan mengambil pelajar itu.Bagi mereka yang tiada kenderaan, pihak barisan hadapan akan menghantar pelajar terus ke rumah masing-masing.   

Pelajar dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi langkah-langkah pencegahan seperti mengamalkan jarakan sosial yang selamat iaitu berada dalam jarak sekurang-kurangnya satu meter dari orang lain serta menjaga kebersihan diri dengan kerap membasuh tangan dengan air dan sabun. Pelajar juga digalakkan memakai penutup mulut dan hidung di sepanjang perjalanan.

Bagi mereka yang terkandas di kampung, permohonan untuk pergerakan rentas negeri yang dibuat dalam aplikasi Gerak Malaysia mulai 25 April dan keputusannya akan diketahui pada 1 Mei.

Kelonggaran itu hanya untuk mereka yang terkandas di kampung yang ingin kembali ke rumah masing-masing dan bukannya kepada mereka yang ingin pulang ke kampung.

 

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here