GERIK, 28 APRIL – Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dijatuhi hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menghadiri satu jamuan dua minggu lepas.
Turut dikenakan denda sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak Razman Zakaria serta 13 individu lain.
Kedua-duanya mengaku salah atas tuduhan melanggar Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang berkuat kuasa mulai 15 April hingga 28 April.
Majistret Norhidayati Mohammad Nasroh menjatuhkan hukuman itu selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan masing-masing yang dibacakan secara serentak oleh jurubahasa mahkamah dan kesemua mereka membayar denda itu.
Pada 18 April lalu, beberapa keping gambar Dr Noor Azmi, Razman dan beberapa individu menghadiri satu jamuan di Maahad Tahfiz Quran Lid Dakwah Wal Imamah di Lenggong, tular di media sosial.