Penduduk Selayang dilarang hulur, terima barang tanpa kebenaran polis ketika PKPD

KUALA LUMPUR: Penduduk sekitar Selayang Baru dilarang menghulur atau menerima barangan daripada pihak luar tanpa kebenaran pihak polis ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata barang yang dihulur tidak berbahaya, namun tindakan itu mampu mengundang risiko jangkitan COVID-19.

“Barang yang dihulurkan mesti melalui polis untuk periksa terlebih dahulu apa yang diberi oleh orang luar kepada penduduk ketika PKPD dikuatkuasakan. Ia diperiksa kandungan yang ingin diberi, maka kami perlu membuat pemeriksaan,” katanya.

Tinjauan mendapati aktiviti menghulur barangan seperti makanan dan lain-lain keperluan kepada penduduk di bawah PKPD melalui kawat duri berlaku lebih mudah, tanpa melalui pemeriksaan polis.

Seorang warga Myanmar yang enggan dikenali berkata, dia sedang menunggu saudaranya menghulurkan sedikit barang keperluan dapur berhampiran kawat duri itu kerana ia lebih mudah dan cepat untuk menghulurkan barangan tanpa perlu melalui pemeriksaan polis.

Dalam pada itu, Arifai berkata penduduk di bawah arahan PKPD Selayang Baru dibenarkan untuk keluar sekiranya mempunyai kes kecemasan seperti sakit dan seumpamanya.

Sehingga 9.30 malam tadi, petugas kesihatan masih menjalankan proses saringan kesihatan dari rumah ke rumah di Jalan Besar, Jalan 8 dan beberapa jalan lain di Selayang Baru.

Penduduk juga dilihat memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas kesihatan tanpa rasa takut, seluruh kawasan dipagar dengan kawat duri setinggi satu meter termasuk di beberapa lokasi dipercayai menjadi ‘lorong tikus’ dan penghadang jalan diletakkan di semua laluan utama.

Kerajaan memutuskan untuk meletakkan kawasan Selayang Baru, Gombak, Selangor di bawah status PKPD mulai Sabtu lepas hingga 3 Mei ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here