Sabah benar 44 jeti persendirian industri sawit, petroleum operasi semula

KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah hari ini bersetuju membenarkan 44 jeti persendirian bagi pengendalian sawit dan petroleum untuk beroperasi semula sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong.

Beliau berkata kebenaran itu membabitkan 10 jeti bagi aktiviti pengendalian minyak sawit dengan saluran paip; 32 jeti untuk aktiviti pemunggahan buah tandan segar kelapa sawit serta dua jeti bagi pengendalian petroleum dan gas.

“Keputusan membenarkan jeti persendirian ini beroperasi telah diputuskan menerusi Pusat Arahan COVID-19 Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini.

Safar berkata kerajaan Sabah turut bersetuju membenarkan 33 syarikat kilang baja berlesen meneruskan operasi untuk memenuhi keperluan tempatan sahaja dan bukan bagi tujuan eksport.

Selain itu, katanya, kebenaran beroperasi bagi perkhidmatan penting dan barangan penting serta semua kebenaran khas yang dikeluarkan sebelum ini turut dilanjutkan sehingga 12 Mei mengikut Tatacara Pengoperasian yang ditetapkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here