238 warga tempatan ditahan, polis teroka penempatan haram

HULU SELANGOR: Polis menahan 238 individu termasuk bayi, dalam serbuan terhadap sebuah kawasan penempatan haram di Ulu Rening, Batang Kali, di sini, petang semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 5 petang itu, mereka yang ditahan terdiri daripada 76 lelaki dan 77 wanita, bakinya adalah kanak-kanak dan bayi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata, berdasarkan soal siasat, penduduk terbabit mendakwa, mereka adalah ahli Dewan Perkasa Ekonomi Islam Nusantara.

“Kita masih siasat persatuan ini, sejak bila kesemua mereka berada di kawasan itu tetapi kami mendapati mereka ini makan, mandi dan tinggal di kawasan ini buat selama-lamanya dan menjadikan penempatan sementara”, jelas beliau.

Fadzil berkata, hasil siasatan mendapati beberapa suspek berhijrah dari Kelantan, Pahang dan Perak untuk menetap di kawasan itu secara sementara dan kesemua mereka dibawa ke Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.

“Polis akan bekerjasama dengan Majlis Daerah Hulu Selangor untuk mengambil tindakan lanjut berhubung lokasi penempatan itu dan kesemua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Peraturan Penyakit-Penyakit Berjangkit 1988”, katanya.

Fadzil berkata pemeriksaan kesihatan akan dijalankan terhadap mereka, yang kini ditempatkan di Dewan Serbaguna KKB dan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Daerah KKB, turut membantu dalam urusan kebajikan mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here