MCO : Tiada istilah hukuman dua darjat, kata Ismail Sabri

PUTRAJAYA – Tiada istilah hukuman dua darjat bagi mereka yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tegas Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Tiada siapa yang mengatasi undang-undang negara kita. Kerajaan bersikap adil kepada semua, sesiapa yang langgar undang-undang akan diambil tindakan tanpa kira sebarang kedudukan dan juga turut mengira pertuduhan masing-masing”, katanya.

“Contohnya (isu denda) exco Perak dan Timbalan Menteri Kesihatan, mereka didenda kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) di bawah peraturan PKP, ” katanya dalam sidang media berkaitan PKP hari ini.

Merujuk kepada kes membabitkan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Exco Perak, Razman Zakaria, Ismail Sabri menjelaskan bahawa kedua-duanya merupakan wakil rakyat yang dibenarkan keluar untuk menjaga kebajikan rakyat dan bertugas semasa PKP.

Beliau menambah, kesalahan kedua-dua wakil rakyat berkenaan adalah disebabkan oleh SOP seperti tidak melakukan penjarakan sosial, maka mereka dikenakan di bawah Akta 342 Peraturan 6(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dengan hukuman maksimum RM1,000.

“Ramai yang dipenjara bukan kesalahan di bawah PKP dan langgar SOP semata-mata, tetapi kesalahan lain di bawah kanun keseksaan. Contohnya, ditangkap kerana menghalang tugas penjawat awam, melawan dan bergaduh dengan polis, langgar sekatan jalan raya. Maka pertuduhan hukuman itu juga berbeza dan  bukan dua darjat seperti yang digambarkan di luar sana”, jelasnya lagi.

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here