PKP : Fasa 4 tuntut komitmen jitu kerajaan, rakyat

KUALA LUMPUR : Malaysia kini berada dalam fasa keempat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu fasa pemulihan COVID-19.

Keberkesanaan pelaksanaan tiga fasa PKP sebelum ini beransur-ansur dapat dilihat hasil tindakan proaktif dan agresif kerajaan membendung penularan pandemik itu.

Malah ia turut dapat dibuktikan dengan apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam mengumumkan kes positif COVID-19 terendah direkodkan sejak PKP dilaksana pada 18 Mac, dengan 31 kes dilapor sehingga 12 tengah hari semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sektor ekonomi digalakkan kembali berfungsi seperti biasa kerana negara kini memasuki fasa pemulihan, namun perlulah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) KKM.

Bagaimanapun telah berkali-kali diingatkan, perkembangan positif situasi ini sekarang bukan bermakna rakyat boleh menghela nafas lega dan terus berasa selesa dengan tidak mematuhi PKP.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, juga telah mengingatkan,  kerajaan mengajak rakyat bersabar dengan biar susah sekarang demi kesenangan pada masa akan datang.

Namun sebelum itu, rakyat terus dituntut memberikan komitmen jitu mematuhi PKP, kerana hukuman yang bakal menanti mereka yang ingkar, sudah pasti tidak mengira darjat.

Dengan sedikit kelonggaran yang telah diberikan kerajaan yang menyaksikan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dibenarkan pulang, serta mereka yang terkandas di kampung halaman dibenarkan membuat pergerakan, rakyat pastinya mengharapkan agar lebih banyak kelonggaran akan diberikan selepas ini.

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here