KUALA LUMPUR: Kedah negeri terbaharu diisytihar zon hijau bebas COVID-19 apabila tiada kes aktif dikesan di negeri itu, setakat 12 tengah hari semalam.
Sebelum ini, Perlis muncul sebagai negeri pertama zon hijau kerana merekodkan kes jangkitan sifar bagi tempoh melebihi dua minggu diikuti Kelantan pada Selasa.
Kedah menjadi negeri ketiga bebas wabak itu selepas kesemua 11 daerah merekodkan sifar kes aktif berbanding jumlah keseluruhan 95 kes sebelum ini.
Menurut Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan (KKM), zon hijau terus bertambah 88 daerah setakat semalam berbanding 85 daerah hari sebelumnya.
Infografik CPRC juga menunjukkan jumlah zon merah kekal 12 kawasan walaupun terdapat pertambahan 94 kes baharu COVID-19 di negara ini setakat jam 12 tengah hari semalam.
Sehingga kini, Malaysia mencatatkan sebanyak 5,945 kes dan daripada jumlah berkenaan 1,758 kes masih aktif.