MCO : Eksport minyak sawit turun 41.7 peratus

KUALA LUMPUR – Prestasi keseluruhan eksport produk sawit mencatatkan penurunan signifikan 34.8 peratus atau 793,257 tan kepada 1,486,521 tan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April, 2020.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata eksport minyak sawit menyusut 41.7 peratus atau 636,847 tan dan kementeriannya berkata akan meningkatkan usaha penerokaan pasaran baharu melalui pelbagai strategi yang bersesuaian dengan negara berkenaan.

“Malaysia juga bersedia untuk melaksanakan urusan berkongsi kepakaran dan kemahiran melalui misi perdagangan, penganjuran seminar berkaitan isu teknikal dan ekonomi, pelaksanaan program pengenalan industri sawit Malaysia serta berkongsi tadbir urus industri sawit,” katanya dalam kenyataan hari ini.  

Mengulas selanjutnya, beliau berkata selain pasaran sedia ada yang akan terus diperkukuhkan terutamanya di India, China dan Kesatuan Eropah, KPPK telah mengenalpasti pasaran baharu yang berpotensi dibangunkan melalui pelaburan langsung.

Menurutnya sebilangan besar negara tersebut telah menunjukkan minat berkaitan aspek pembekalan atau terlibat dalam pengembangan serta pembuatan industri minyak dan lelemak menggunakan minyak sawit Malaysia.

“Perkembangan ini menunjukkan keyakinan negara-negara tersebut terhadap kualiti minyak sawit  Malaysia. Ia juga membuktikan kelebihan Malaysia sebagai pembekal minyak sawit dan boleh dipercayai sebagai rakan kerjasama dalam membangunkan industri minyak,” kata Mohd Khairuddin. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here