BUKIT MERTAJAM: Peniaga yang ingin menjual buah bermusim seperti durian di Seberang Perai boleh membuat permohonan untuk mendapatkan permit jualan daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud, berkata pihaknya menyedari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan aktiviti penjajaan tepi jalan, pasar tani, pasar malam, trak makanan dan pasar Ramadan terjejas.
Berikutan itu, katanya, MBSP menyediakan inisiatif kepada peniaga buah-buahan bermusim di Seberang Perai untuk menjalankan perniagaan dalam tempoh penguatkuasaan PKP dengan mengikut syarat yang ditetapkan.
“MBSP menyediakan dua pilihan kepada peniaga iaitu membenarkan aktiviti jualan buah-buahan bermusim dijalankan di premis-premis perniagaan yang dibenarkan dibuka seperti di kedai makan dan pilihan kedua adalah menyewa ruang niaga milik MBSP dengan kadar bayaran tertentu,” katanya pada sidang media hari ini.
Permohon permit jualan buah-buahan boleh dibuat dengan melayari laman web MBSP di www.mbsp.gov.my dan klik pada Bahagian Perniagaan.