KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membolehkan sebahagian sektor ekonomi dan sosial di buka semula.
Katanya, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) masih terus dilaksanakan di kawasan zon merah.
“Dalam melaksanakan PKPB aktiviti keagamaan, majlis kenduri, majlis rumah terbuka dan perhimpunan ramai yang mendedahkan risiko jangkitan COVID-19 masih tidak dibenarkan,” katanya dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja hari ini.
Beliau berkata kerajaan sedia membuka semula aktiviti ekonomi secara terkawal di bawah PKPB dan semua aktiviti riadah dan sukan membabitkan perhimpunan ramai seperti bola sepak masih tidak dibenarkan.
“Aktiviti sukan di luar rumah yang membabitkan sentuhan badan dan sukar mengawal penjarakan sosial tidak dibenarkan”, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bagaimanapun, beliau berkata, orang awam boleh bermain sukan badminton, tenis, joging serta kayuhan basikal dengan syarat mereka perlu melaksanakan penjarakan sosial.