‘Negara mempunyai fasiliti kesihatan yang mencukupi’ – PM

KUALA LUMPUR: Negara mempunyai fasiliti kesihatan yang mencukupi seandainya kadar jangkitan meningkat semula,” kata Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Perdana Menteri berkata, negara mempunyai sumber tenaga kerja, ruang katil di hospital, pusat kuarantin, ubat-ubatan, alat bantuan pernafasan atau ventilator, peralatan perlindungan diri dan makmal-makmal ujian yang mencukupi.

“Kita sudah mampu mempertingkatkan kapasiti perkhidmatan kesihatan awam untuk menangani jumlah pesakit COVID-19,” katanya dalam perutusan khas Perdana Menteri sempena Hari Pekerja, hari ini.

Beliau berkata, yang perlu dilakukan ialah mempertingkatkan keupayaan perkhidmatan kesihatan awam untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Jadi, walaupun kita telah berjaya mengawal penularan COVID-19, amalkan tabiat penjarakan sosial, sering membasuh tangan, memakai penutup hidung dan mulut di kawasan awam dan segera berjumpa doktor sekiranya bergejala,” katanya.

“Menurut Kementerian Kesihatan, negara kita juga telah memenuhi enam kriteria yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO,” katanya.

Pertama, kawalan sempadan negara telah diperketatkan untuk mengelakkan kes import positif COVID-19 berlaku; kedua, kawalan pergerakan untuk mengurangkan kadar jangkitan dalam kalangan rakyat tempatan; ketiga, peningkatan keupayaan fasiliti kesihatan.

Keempat adalah keupayaan menjaga golongan berisiko seperti warga emas, pesakit yang dirawat serta orang kurang upaya; kelima, amalan normal baharu dalam kehidupan seperti tidak berkumpul, tidak bersalam, penjarakan sosial dan memakai face mask; dan keenam, pemerkasaan komuniti untuk menjaga kawasan yang tidak dijangkiti seperti zon hijau serta mengamalkan aktiviti normal baharu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here