PUTRAJAYA – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata orang ramai tidak dibenarkan melakukan perjalanan merentas sempadan negeri untuk balik ke kampung semasa cuti perayaan Aidilfitri.
Beliau berkata perjalanan rentas negeri hanya dibenarkan untuk tujuan hadir bekerja dan pulang semula ke rumah sendiri setelah terkandas di kampung atau di tempat-tempat lain.
“Majlis-majlis sosial, kemasyarakatan dan kebudayaan yang melibatkan perhimpunan ramai seperti kenduri, rumah terbuka, majlis berbuka puasa beramai-ramai, konsert, persembahan kebudayaan, perhimpunan bulanan jabatan kerajaan dan swasta serta semua bentuk majlis perasmian dan perhimpunan adalah tidak dibenarkan,” katanya.
Selain itu Muhyiddin berkata aktiviti keagamaan seperti perarakan keagamaan, solat Jumaat dan semua aktiviti berjemaah atau berhimpun di masjid, surau dan rumah ibadat juga tidak dibenarkan buat masa ini.
Muhyiddin berkata terdapat juga beberapa perniagaan dan aktiviti yang tidak dibenarkan beroperasi antaranya panggung wayang, pusat karaoke, pusat refleksologi, pusat hiburan, kelab malam, taman tema, bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, karnival jualan dan semua bentuk persidangan dan pameran.
Selain perniagaan, beliau berkata aktiviti sukan yang melibatkan perhimpunan ramai, sentuhan badan dan lain-lain risiko jangkitan juga tidak dibenarkan.
Muhyiddin berkata buat masa ini juga semua sekolah, kolej dan institusi pengajian tinggi masih belum dibuka.